Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kementerian Pertahanan Thailand memberi jaminan bahawa agensi keselamatan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan penduduk di selatan Thailand susulan beberapa insiden pengeboman dan tembakan pada Sabtu malam. Foto Media sosial

Thailand tingkatkan keselamatan, jamin keselamatan selepas serangan di wilayah selatan

ByBernama

BANGKOK, 9 Mac: Kementerian Pertahanan Thailand memberi jaminan bahawa agensi keselamatan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan penduduk di selatan Thailand susulan beberapa insiden pengeboman dan tembakan pada Sabtu malam.

Jurucakap kementerian, Mejar Jeneral Thanathip Sawangsang berkata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Phumtham Wechayachai menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pegawai dan orang awam yang terkorban dalam kejadian pada 8 Mac itu.

“Tindakan keganasan sedemikian dalam bulan suci ini bertentangan dengan prinsip agama dan mengakibatkan kehilangan besar. Kementerian Pertahanan menggesa orang ramai mengecam tindakan kumpulan berniat jahat dan menegaskan komitmennya untuk menguatkuasakan langkah perundangan secara tegas bagi melindungi penduduk di wilayah sempadan selatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menggesa orang ramai dan semua pihak berkepentingan bekerjasama dalam memelihara keamanan serta keselamatan di wilayah itu.

Beberapa insiden letupan bom dan tembakan di Wilayah Narathiwat dan Pattani pada 8 Mac dilaporkan mengorbankan lima nyawa serta mencederakan 13 yang lain.

Sementara itu, jurucakap Tentera Diraja Thailand Mejar Jeneral Winthai Suvaree berkata Panglima Tentera Jeneral Phana Klaewplodthuk, yang juga Timbalan Pengarah Kawalan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), telah menerima taklimat berhubung insiden berkenaan.

Beliau melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Jeneral Phana turut mengarahkan Kawalan Hadapan ISOC Wilayah 4 untuk memantau situasi dengan lebih dekat, termasuk memperkukuh langkah keselamatan di kawasan berisiko serta memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka yang terjejas.

“Usaha perlu dipertingkat bagi memperbaiki tahap keselamatan di kawasan yang kurang dilindungi bagi mengelak memberi peluang kepada individu berniat jahat. Tindakan keganasan ini bukan sahaja bertujuan menimbulkan huru-hara, malah menyebabkan kematian dalam kalangan pegawai keselamatan serta orang awam yang tidak bersalah,” katanya.

Beliau turut menggesa tindakan segera diambil bagi menjejaki dan membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan secepat mungkin. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan