SIBU, 9 Mac: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) mengorak langkah baharu dalam mendekati masyarakat dengan menganjurkan Jelajah Podcast Ramadan, satu inisiatif interaktif untuk menjawab pelbagai persoalan berkaitan zakat, bantuan asnaf dan kebajikan ummah.
Pengurus Besar Tabung Baitumal Sarawak, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, jelajah podcast Ramadan ini akan menjadi platform utama untuk menjawab persoalan umum mengenai zakat termasuk proses agihan, cara permohonan bantuan, serta kepentingan menyokong asnaf secara sistematik.
“Pada iftar perdana kali ini, kita turut mengadakan podcast di beberapa lokasi seperti Kuching, Sibu, Miri dan Sri Aman. Alhamdulillah, sepanjang sesi podcast tersebut, banyak soalan diajukan dan kami berjaya memberikan jawapan yang memuaskan.”katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Dalam pada itu, Abang Mohd Shibli menambah, program ini dijalankan sepanjang Ramadan selaras dengan iftar perdana yang akan diadakan di semua cawangan TBS sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan zakat dan masyarakat.
“Sepanjang Ramadan, bantuan kita terus berjalan, dan selain itu, kami juga mengadakan iftar perdana. tujuannya adalah untuk warga kerja kami dan rakan zakat merasai bahawa walaupun berpuasa, kita tetap dapat berhimpun bersama dan membantu mereka yang memerlukan.” ujarnya lagi.
Katanya lagi, melalui inisiatif ini, TBS bukan sahaja terus membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga memperluaskan kesedaran mengenai kepentingan zakat dalam membangun masyarakat.-TVS