Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Selepas menempuh musim yang ‘panjang’, pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim akhirnya kembali menemui sentuhan jaringan apabila cemerlang meledak hatrik membantu Selangor FC membelasah pasukan tercorot Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 pada saingan Liga Super 2024/2025 semalam. Foto Selangor FC

‘Siuuu’ Faisal Halim kembali bergema, ledak hatrik bantu Selangor benam KDN

ByBernama

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Selepas menempuh musim yang ‘panjang’, pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim akhirnya kembali menemui sentuhan jaringan apabila cemerlang meledak hatrik membantu Selangor FC membelasah pasukan tercorot Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 pada saingan Liga Super 2024/2025 semalam.

Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan Faisal Halim menamatkan kemarau jaringan selepas 447 hari (kali terakhir menjaringkan gol ketika menentang PDRM FC musim lalu) apabila beliau dengan tenang menyambut hantaran dari sebelah kiri ketua pasukan Muhammad Safuwan Baharudin untuk memulakan pesta gol Gergasi Merah pada minit ke-13.

Pemain pertahanan Quentin Cheng menggandakan jaringan Selangor menerusi voli dari sudut sukar di sebelah kanan padang pada minit ke-31 sebelum mencipta peluang buat Faisal Halim, yang menjadi mangsa simbahan asid Mei lepas, mencetak gol kedua peribadi pada minit kedua masa kecederaan babak pertama.

Percaturan Katsuhito Kinoshi membawa masuk pemain tengah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi menggantikan tonggak import Yohandry Orozco pada babak kedua benar-benar mencetuskan impak dengan menjadi arkitek buat tiga lagi gol pasukannya.

Umpanan Mukhairi Ajmal membuka ruang buat pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar menjaringkan dua gol dalam masa singkat, masing-masing pada minit ke-54 dan ke-56, disusuli hantaran dari sebelah kanan yang dimanfaatkan Faisal Halim untuk melengkapkan hatrik pada minit ke-66.

Penyerang gantian Muhammad Aliff Izwan Yuslan tidak mensia-siakan kemunculannya di atas padang apabila bijak menghidu hantaran pemain tengah dari Croatia Nikola Jambor untuk menoktahkan kemenangan besar Selangor sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua dengan 46 mata manakala KDN kekal terperosok di tangga terbawah menerusi tujuh mata.

Dalam pada itu, dua jaringan penyerang import Kpah Sherman masing-masing pada minit ke-72 dan ke-78 membantu Sri Pahang FC mengutip tiga mata berharga apabila menundukkan tuan rumah PDRM FC 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Terdahulu, tandukan pemain pertahanan dari Argentina Stefano Brundo membuka tirai jaringan buat skuad Tok Gajah pada minit ke-38 manakala jaringan sagu hati skuad ‘The Cops’ disumbangkan Bruno Suzuki tujuh minit selepas separuh masa kedua bersambung.

Kemenangan keempat Sri Pahang musim ini menyaksikan mereka kini di tangga ke-10 liga dengan 20 mata sementara PDRM berada di kedudukan kelapan dengan 21 mata.

Satu lagi aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung membabitkan tuan rumah Perak FC dan Negeri Sembilan FC pula berkesudahan seri tanpa jaringan.

Keputusan tersebut membantu kedua-dua pasukan mengekalkan kedudukan dengan Perak FC mengutip 24 mata di tangga ketujuh dan Negeri Sembilan di tempat ke-12 dengan 13 mata. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan