KUCHING, 10 Mac: Sejumlah RM3.6 juta dicadangkan bagi menaik taraf infrastruktur di Surau Darul Amin Semariang bagi memastikan keselesaan jemaah dan menjadikannya pusat komuniti lebih baik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan mengenai cadangan peruntukan teraebut ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Agihan Bubur Lambuk Kejiranan Mesra (KJM) Semariang pada Ahad.
Menurut Fadillah, peruntukan RM3.6 juta itu bertujuan untuk meningkatkan fasiliti dan persekitaran surau agar lebih kondusif bukan hanya untuk ibadah tetapi juga bagi penganjuran aktiviti komuniti.
“Surau ini bukan sekadar tempat solat, tetapi juga pusat kejiranan bagi kita berkumpul, menjalankan aktiviti serta memperkukuhkan ukhuwah dalam masyarakat.
“Kita mahu pastikan surau ini dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat terutama dalam penganjuran program kemasyarakatan seperti ini,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan semangat kejiranan, selari dengan ajaran Islam yang menitikberatkan hubungan baik sesama jiran.
“Dalam Islam, jiran bukan hanya yang tinggal bersebelahan rumah kita tetapi merangkumi 40 rumah di kiri, kanan, depan dan belakang. Dengan adanya program seperti ini, kita diingatkan tentang tanggungjawab menjaga hak jiran, selain hak keluarga dan masyarakat,” ujarnya.
Fadillah turut menyatakan usaha menaik taraf Surau Darul Amin akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan Surau, Pejabat Residen dan Kerajaan Sarawak.
“Kita akan usahakan supaya dana ini dapat disalurkan segera agar kerja-kerja naik taraf dapat dimulakan secepat mungkin.
“Ini penting supaya surau ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat pembangunan komuniti bagi semua lapisan masyarakat,” tambahnya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 & Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman. – TVS