IPOH, 9 Mac: Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian seorang lelaki menganiaya seekor anjing di Menglembu di sini, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 12.30 tengah malam Jumaat lepas dan sedang melengkapkan siasatan sebelum merujuk kertas siasatan kepada Pendakwa Raya Negeri Perak untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal pihak polis mendapati seorang lelaki warga asing telah menyimbah secawan air panas ke atas seekor anjing liar yang berlegar di luar premis.
“Anjing tersebut telah diselamatkan dan dihantar ke klinik veterinar berhampiran bagi tujuan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Sajidan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menganiaya dan khianat terhadap haiwan.
“Polis ingin menasihati orang ramai supaya tidak menganiaya dan khianat terhadap haiwan kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.
“Jika terdapat sebarang insiden melibatkan gangguan haiwan, orang ramai diminta untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya,” katanya. -TVS