MIRI, 9 Mac: Persatuan Suka Seni Miri (PSS Miri) mampu menjadi platform terbaik kepada seniman muda di Miri untuk menampilkan bakat dalam pelbagai cadang seni seperti visual, persembahan dan arca.
Presiden PSS Miri, Mohamed Husaini Januar berkata, inspirasi untuk menubuhkan persatuan tersebut datang daripada pengalamannya melawat galeri seni di Kuala Lumpur dan maklumat yang diperoleh.
“Saya ingin menyediakan satu platform khas untuk artis muda bukan sahaja dalam seni visual tetapi juga seni persembahan dan seni arca,” katanya ketika ditemui TVS di Miri, hari ini.
Menurutnya, setakat ini lebih daripada 20 individu menyatakan minat untuk menyertai persatuan tersebut termasuk pelukis dan penggiat seni tempatan yang berada di Miri serta seluruh Sarawak.
“Ramai yang berminat dan ingin kembali ke Miri untuk berkongsi bakat mereka dengan masyarakat tempatan,” ujarnya.
Husaini berkata, Persatuan Suka Seni Miri berhasrat untuk menumpukan kepada seni berasaskan budaya etnik Sarawak.
“Di Miri, kita mempunyai kepelbagaian etnik yang luas, lebih daripada 30 kumpulan etnik dan setiap satunya mempunyai seni budaya tersendiri. Contohnya, Puak Kumbu, seni persembahan seperti Sape dan tarian tradisional Dayak. Ini adalah warisan yang perlu kita angkat,” ujarnya.
Beliau turut menekankan persatuan tersebut akan menampilkan gabungan antara seni tradisional dan moden.
“Golongan muda hari ini lebih terdedah kepada media sosial, jadi kita boleh gunakan platform ini untuk mengetengahkan seni kita. Saya juga melihat ramai anak muda berbakat dalam menghasilkan kandungan kreatif seperti filem pendek dan video,” jelasnya.
Mohamed Husaini percaya Miri berpotensi menjadi pusat seni utama di Sarawak.-TVS