Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menghadiri Majlis Agihan Bubur Lambuk KJM N7 Samariang, di Surau Darul Amin, Kampung Samariang Jaya Fasa 2. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Komited kurangkan NRW seluruh negara

KUCHING, Mac 9: Kerajaan Persekutuan terus komited dalam usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) di seluruh negara dengan sasaran menurunkannya ke bawah 35 peratus tahun ini dan mencapai sekitar 30 peratus menjelang 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Sarawak merupakan antara negeri yang layak menerima geran bagi menggantikan paip-paip lama serta menaik taraf meter air sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut.

Menurutnya, program NRW melibatkan dua pakej bergantung kepada kadar NRW negeri terbabit.

“Bagi negeri dengan kadar NRW melebihi 40 peratus, kerajaan akan menyalurkan geran bagi membantu kerja-kerja penggantian paip usang serta meter baharu.

“Sementara itu, bagi negeri yang mencatatkan kadar NRW di bawah 40 peratus, kerajaan menawarkan geran padanan sebanyak 50 peratus,” katanya pada program agihan bubur lambuk di Surau Darul Amin, Semariang pada Ahad.

Bagaimanapun menurutya, negeri-negeri tersebut perlu terlebih dahulu melaksanakan inisiatif pengurangan NRW dan hanya akan menerima pulangan separuh daripada perbelanjaan yang dikeluarkan sekiranya mereka mencapai sasaran yang ditetapkan.

Menurut Fadillah, program NRW yang dimulakan tahun lalu telah menunjukkan hasil yang positif dan usaha tersebut akan diteruskan tahun ini bagi memastikan objektif nasional tercapai.

“Jika kita dapat meneruskan momentum ini, kita akan berjaya menurunkan NRW ke tahap sekitar 30 peratus menjelang 2025,” tambahnya.

Mengulas mengenai situasi di Sarawak, beliau mengesahkan wilayah ini termasuk dalam kategori penerima geran memandangkan kadar NRW masih tinggi.

Mengenai pembiayaan program tersebut, beliau menjelaskan peruntukan keseluruhan untuk tahun lalu berjumlah RM2 bilion dan jumlah perbelanjaan bagi NRW tahun ini dijangka berada pada kadar yang hampir sama.

“Projek ini dilaksanakan secara berperingkat, dengan negeri yang mencapai sasaran akan menerima pembayaran balik berdasarkan perbelanjaan mereka,” katanya.

Fadillah turut menjelaskan isu air berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, manakala kerajaan pusat bertindak sebagai penyedia pinjaman atau geran bagi membantu negeri-negeri yang memerlukan.

Beliau juga menekankan keperluan untuk menyelaraskan undang-undang antara kerajaan pusat dan negeri agar segala bentuk kerjasama dalam sektor air dapat diperkukuhkan.

“Dengan inisiatif yang berterusan ini, kerajaan optimis bahawa masalah NRW dapat ditangani secara berkesan, sekali gus meningkatkan kecekapan bekalan air bersih kepada rakyat di seluruh negara,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan