KUCHING, 9 Mac: Team Gerak Sahur Kampung Tambey dekat Kota Samarahan memeriahkan suasana kampung dengan mengetuk baldi, periuk dan memainkan lagu “Sahur…sahur” sekitar pukul 4 pagi.
Berjalan sekeliling kampung kira-kira dua kilometer, sekumpulan 20 orang belia ini hanya mahu menyumbang peranan dan memperoleh pahala pada bulan Ramadan.
Diketuai Busmani Drahman atau lebih mesra disapa sebagai Musz, beliau berkata penduduk kampung dan ketua kampung menggalakkan dan menyokong inisiatif mereka.
“Aktiviti menggerakkan orang kampung untuk sahur sebenarnya tradisi kampung mereka yang terhenti sejak sekian lama.
“Dengan sokongan majoriti penduduk kampung, kumpulan belia ini menghidupkan semula tradisi bermula Ramadan tahun 2024,” katanya ketika ditemui di Kampung Tambey, hari ini.

Menurutnya, pernah satu pagi mereka tidak menggerakkan penduduk kampung kerana hujan lebat, beberapa orang kampung bertanya sebab.
“Maknanya, orang kampung menghargai peranan kami yang tidak seberapa ini. Ketua Kampung pun memberi galakan demi memeriahkan suasana bersahur,” katanya.
Musz berkata lagi, mereka turut merancang untuk memeriahkan suasana kampung menjelang Aidilfitri ini dengan pertandingan bertuntung.
“Kita ingin kembalikan kemeriahan menjelang Aidilfitri di kampung dengan amalan tradisi,” ujarnya.