PETALING JAYA, 9 Mac: Sebuah balai bomba perlu diwujudkan segera di Kota Damansara, kata Datuk R.Ramanan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata, ini kerana jarak balai bomba terdekat iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara di Jalan SS 2/2 terlalu jauh.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, ini akan memberi kesan ketara kepada masa tindak balas bagi menjalankan operasi menyelamat sekiranya berlaku kecemasan.
“Pihak saya akan meminta kajian kebolehlaksanaan penubuhan balai bomba di sini disegerakan.
“Kami juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan khususnya pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menilai jurang semasa dalam liputan kebakaran dan seterusnya memohon peruntukan untuk mendekatkan perkhidmatan penting kepada
orang ramai,” katanya.
Ramanan berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pegawai Khasnya, Vignesvaran Gunasagaran pada Seminar Safety and Security di Tropicana Golf & Country Resort di sini, hari ini.
Sementara itu, isu akses bagi laluan kenderaan kecemasan seperti jentera bomba juga merupakan antara masalah yang perlu ditangani.
Justeru, Ramanan memaklumkan beliau telah membawa isu berkenaan ke Jabatan Kerja Raya, majlis bandaraya dan agensi berkaitan.
“Mengambil contoh, kejadian kebakaran baru-baru ini di kawasan ini, jentera bomba terpaksa berpatah balik kerana tidak dapat melalui Terowong Tropicana. Ini adalah risiko yang serius,” katanya.
Kata beliau, isu kritikal ini akan memberi kesan sekiranya bantuan tidak sampai ke kawasan mangsa yang terjejas. – TVS