Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha pada Program Safari Ramadan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak di Masjid Al-Falah, Kampung Pedaun Bawah di Bau, malam tadi. Foto: TVS

Safari Ramadan: Perkukuh ukhuwah Islamiah

ByAhmad Burhanuddin

BAU, 8 Mac: Majlis Islam Sarawak (MIS) terus komited dalam mengimarahkan Ramadan melalui Program Safari Ramadan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak yang berlangsung di Masjid Al-Falah, Kampung Pedaun Bawah, Krokong, di sini.

Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha berkata, program tersebut bertujuan memperkukuhkan ukhuwah Islamiah dan melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat kepada komuniti saudara sesama Islam di kawasan tersebut.

Menurutnya, penganjuran program itu berperanan sebagai platform menyantuni masyarakat setempat melalui pendekatan dakwah bil hal selain turut mengadakan pelbagai inisiatif kebajikan.

“Saya boleh bayangkan semasa Hari Raya Aidilfitri nanti barangkali masjid ini tidak dapat memuatkan jemaah yang ada. Jadi, mungkin akan ada sembahyang di luar dan apabila di luar, sudah pasti sejadahnya tidak mencukupi dan insya-Allah kita perlu sejadah yang lebih banyak.

“Oleh itu, pihak kami juga akan menyediakan cat untuk masjid ini. Pihak tentera dan polis sudah bersetuju, cuma sekarang ini hanya perlu maklumkan kepada saya berapa keperluan cat yang akan digunakan.

“Insya-Allah, kami turut menghantar 10 gulung sejadah bagi kegunaan masjid ini dan diharapkan ia mencukupi untuk semua,” katanya ketika berucap pada Program Safari Ramadan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak di Masjid Al-Falah, Kampung Pedaun Bawah, di sini, malam tadi.

Selain itu, MIS turut menyampaikan pelbagai bentuk sumbangan kepada golongan memerlukan seperti beg dan kelengkapan sekolah kepada 120 pelajar, 150 kotak makanan untuk golongan asnaf serta wakaf ilmu berupa rak buku dan sumbangan buku daripada Pusat Penerangan Islam.

Antara kampung yang terlibat dalam program tersebut ialah Kampung Bijuray Monggag, Kampung Pedaun Bawah, Kampung Pangkalan Tebang, Kampung Ledan Gumbang dan Kampung Tringgus.

Program Safari Ramadan turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi di bawah MIS, IKMAS, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari pasukan 10 Rejimen Sempadan (RS) di bawah Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.

Sehubungan itu, ia bukan sahaja berperanan dalam mengeratkan hubungan antara agensi Islam dan masyarakat tetapi juga memperkukuh nilai kebersamaan serta menyemarakkan semangat Ramadan melalui amalan kebajikan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan