KUCHING, 8 Mac: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025 kepada semua wanita di Malaysia yang disambut hari ini.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada golongan wanita yang menjadi tunjang kepada keluarga, masyarakat serta pembangunan negara selaras dengan tema sambutan tahun ini, Wanita Beraspirasi Membina Legasi.
Pada masa sama, Raja Zarith Sofiah turut menekankan kepentingan peranan wanita bukan sahaja dalam institusi kekeluargaan tetapi juga dalam pelbagai bidang profesional, menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negara.
“Kecekalan dan kebijaksanaan wanita dalam menghadapi cabaran menjadikan mereka sumber inspirasi dalam membina legasi yang bermakna untuk generasi akan datang.
“Saya turut mendoakan agar setiap wanita terus cekal dan bersemangat dalam apa jua yang mereka usahakan,” titah Raja Zarith Sofiah dalam hantaran di laman media sosial rasmi Sultan Ibrahim hari ini.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan setiap 8 Mac merupakan satu penghormatan kepada sumbangan serta pencapaian wanita dalam pelbagai lapangan di seluruh dunia.
Di Malaysia, sambutan tahun ini akan dianjurkan di lima zon di seluruh negara dengan acara kemuncaknya diadakan di Kuala Lumpur bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai wanita untuk bersama-sama terlibat dalam majlis ini.
Bagi sambutan di peringkat di negeri Sarawak pula, sambutan Hari Wanita 2025 akan diadakan di bahagian Serian iaitu di Pusat Persidangan Serian (SCC) pada 26 April depan. -TVS