Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (empat, kanan) bergambar pada Perasmian Multaqa' Imam dan Guru Takmir Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini. Foto Bernama

Program advokasi tingkatkan keharmonian rakyat dipergiat – Zulkifli

ByBernama

KUALA NERUS, 8 Mac: Agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan mempergiatkan usaha untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.

Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata antara yang akan dilakukan adalah memperhebatkan lagi program advokasi dan kefahaman berkaitan hal ehwal agama Islam kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Ia (isu perkauman yang timbul kebelakangan ini) memberi lebih semangat kepada kami dan agensi-agensi di bawah seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk kita giatkan lagi usaha mewujudkan keharmonian dengan mengambil kira semua aspek,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Multaqa Imam dan Guru Takmir Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya isu perpaduan kaum serta agama yang timbul kebelakangan ini mempunyai elemen jenayah.

Bagaimanapun Zulkifli berpendirian isu perkauman dan agama yang timbul hanya hangat di media sosial dan tidak mencerminkan keadaan sebenar masyarakat Malaysia yang sememangnya hidup penuh harmoni.

“Kefahaman dan keharmonian bersama sahabat-sahabat kita sama ada orang Cina, India dan sebagainya itu kita sudah ada tetapi apabila ada ruang yang lain iaitu dunia digital, barangkali itu yang kita kena lihat.

“Setakat ini banyak program dan sesi libat urus yang kita (kementerian) laksanakan, ada wakil pelbagai agama dan ia berlangsung dengan sangat harmoni,” katanya.

Terdahulu Zulkifli berkata Majlis Multaqa Imam dan Guru Takmir Terengganu yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta antara lain memberi peluang kepada peserta mengutarakan pelbagai isu melalui sesi dialog.

Beliau berkata antara yang diutarakan adalah cadangan menyemarakkan keharmonian dalam kalangan masyarakat, cadangan memperluaskan Majlis Multaqa Imam dan Guru Takmir serta isu elaun imam dan guru takmir. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan