BELADIN, 8 Mac: Kerajaan digesa untuk mempercepatkan pengoperasian bagi projek Kompleks Pendaratan Ikan di Beladin, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor
Beliau menyuarakan kebimbangannya terhadap kesan kelewatan tersebut yang terus menjejaskan kehidupan nelayan tempatan dan potensi besar industri perikanan di kawasan Beladin.
“Kami telah mendapat kelulusan projek pembinaan Kompleks Pendaratan Ikan Beladin di sini yang telah siap, tetapi masih belum dioperasikan. Projek ini telah siap lebih 10 tahun yang lalu.
“Oleh sebab itu, projek-projek besar seperti ini sering menjadi keraguan di pihak nelayan kerana projek yang telah dibina dan diumumkan, tetapi masih belum siap dan belum dapat digunakan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Rumah di Bawah Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) Beladin di PSN Beladin di sini, hari ini.
Tambahnya, dalam sesi dialog yang diadakan bersama wakil nelayan semalam, beliau mendedahkan para nelayan turut menyuarakan kebimbangan mereka bahawa kompleks pendaratan ikan yang dibina masih belum lengkap dan tidak memenuhi keperluan asas yang diharapkan.
Katanya, banyak keperluan yang perlu disediakan dan disalurkan dalam kadar segera oleh pihak kerajaan.
“Hasrat kami sejak dahulu lagi bersama Dato Sri Rohani Karim adalah untuk memastikan nelayan kami, khususnya nelayan penangkapan, menjadi yang terbesar di Sarawak.
“Di sini, terdapat lebih kurang 500 buah bot yang terlibat, melibatkan nelayan daripada kategori Nelayan A sehingga ke Nelayan Komersial C1, C2, dan seterusnya. Kategori Nelayan C merupakan yang paling ramai di kawasan ini,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan hasrat cadangan pembinaan kompleks ini adalah untuk membawa nelayan-nelayan ini ke kawasan Beladin supaya hasil tangkapan ikan mereka dapat dibawa ke pusat ini.
“Tujuan utamanya adalah untuk mengembangkan kawasan tersebut sebagai hub perikanan, di mana kita dapat memproses dan mengeluarkan produk perikanan seperti ikan segar, ikan proses dan sebagainya.
“Ini bertujuan untuk menjadikan kawasan ini sebagai sumber ekonomi atau teras ekonomi bagi penduduk di sini, sekaligus meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya lagi.
Razaili turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan tambahan untuk membina jeti tambatan khusus di kawasan tersebut bagi menampung keperluan nelayan.
Namun, beliau berharap lebih banyak kemudahan seperti tempat penyimpanan ais dan bilik sejuk dapat segera disediakan untuk memastikan kompleks ini dapat berfungsi sepenuhnya. – TVS