LAWAS, 8 Mac: Pembangunan semula Pekan Trusan akan dilaksanakan untuk menjadikannya sebagai ‘entry point’ dan persinggahan sebelum ke Lawas.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pekan Trusan juga dapat dijadikan sebagai pusat untuk membeli produk makanan, pertanian daripada penduduk setempat.
“Jadi ia akan menjadi tempat persinggahan dan seperti saya sebutkan tadi Northern Coastal Highway akan melalui Trusan Bazaar ini, jalan raya dual carriage way, akan ada jambatan baharu. Jambatan lama akan dikekalkan.
“Pekan Trusan kita akan bangunkan. Walaupun kecil tapi kita akan rancang sebaik-baiknya supaya menjadi satu pekan yang ‘comel’ dan orang pun akan tertarik. Kita sediakan premis untuk berniaga. Ini adalah satu peluang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Merasmikan Majlis Pelancaran Pembinaan Rumah Mampu Milik Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan, Lawas di sini hari ini.
Tambah beliau, banyak tempat yang boleh dibangunkan sebagai kawasan pertanian.
Begitu juga dari sudut pelancongan, Lawas yang masih diliputi oleh alam semula jadi dapat dijadikan sebagai tarikan pelancong.
“Dari segi pelancongan pula kita boleh melihat akan kekayaan alam semula jadi. Lihat saja di Ulu Trusan, kita menyelusuri sungai-sungai, kita boleh adakan beberapa aktiviti, seronok… bagi kita mungkin biasa sahaja tetapi bagi pelancong ia adalah sesuatu yang unik, menarik yang tidak dapat dinikmati di negara mereka. Ini keunikan kita,” ujarnya lagi. – TVS