BALINGIAN, 8 Mac: Kalau di bandar besar, lamb shank jadi pilihan untuk berbuka puasa, tetapi berbeza di Pekan Kecil Balingian, Pa’eh Udang Kak Endon menjadi rebutan utama penduduk setempat.
Dijual pada harga RM6 satu Pa’eh Udang Kak Endon@Sindon Bakir, 63, merupakan antara menu paling popular untuk berbuka puasa.
“Dalam sehari kira-kira 20 ke 30 Pa’eh Udang habis dijual dan ada juga tempahan dari Mukah dan Bintulu, sampai tak cukup tangan nak layan,” katanya kepada TVS di sini hari ini.
Kak Endon berkata, resipi Pa’eh Udang diwarisi dari arwah ibu secara turun-temurun.
“Pa’eh udang ini adalah campuran isi udang sungai dan kelapa yang dipanggang sekitar 30 minit menggunakan bara dari sabut kelapa untuk aroma yang lebih sedap,” katanya.
Menurutnya, selain Pa’eh udang, dia juga menjual Pa’eh ikan RM5 satu.
“Ikan biasa suami saya yang tangkap menggunakan jaring di Sungai Lemai, Balingian manakala udang kami beli daripada nelayan sungai lain,” katanya.
Wa Jack@Abdul Razak Suhaimi,67, suami kepada Kak Endon banyak membantu untuk menyalai Pa’eh di hadapan rumahnya di Kampung Masjid Balingian. -TVS