Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain Terengganu FC (TFC) Nelson Bonilla (tengah) dikawal oleh pemain Sabah FC pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. Foto Bernama

Liga Super: Terengganu, Sabah sama liat kongsi satu mata

ByBernama

KUALA TERENGGANU, 8 Mac: Terengganu FC (TFC) sekadar mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam ini.

Sabah, selaku pasukan pelawat, terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain kelahiran England, Stuart Wilkin, yang merembat masuk bola hasil hantaran jauh Saddil Ramdani pada minit ke-17.

Tersentak dengan jaringan tersebut, TFC yang dibimbing Badrul Afzan Razali menggandakan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan enam minit kemudian melalui penyerang import kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade yang menanduk masuk bola selepas menerima umpanan Akhyar Rashid.

Namun, kelicikan jentera serangan Sang Badak menghasilkan gol kedua menerusi Saddil, yang menanduk masuk bola hantaran R. Dinesh dua minit sebelum wisel penamat babak pertama dibunyikan.

Tatkala Sabah hampir berpuas hati dengan keadaan semasa, TFC pula berjaya menyamakan kedudukan menerusi kapten pasukan Muhammad Safawi Rasid yang menyumbat gol secara langsung melalui sepakan penjuru pada minit ke-84.

Di Alor Setar, Kedah Darul Aman (KDA FC) pula gagal memungut tiga mata di laman sendiri apabila tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Darul Aman.

Babak pertama perlawanan menyaksikan KDA FC, yang turun tanpa beberapa pemain utama, terlebih dahulu di hadapan menerusi percubaan cantik Milos Gordic pada minit ke-24, hasil hantaran Ebenezer Assifuah.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan tuan rumah diasak bertali-arus dan akhirnya tandukan Paulo Josue berjaya menewaskan penjaga gol Mohd Ifwat Akmal pada minit ke-45, sekali gus mengikat kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua perlawanan, Josue menambah gol kedua KL City pada minit ke-62 sebelum KDA FC menyamakan kedudukan hasil percubaan deras Mohd Fadzrul Danel Nizam pada minit ke-64, menjadikan kedudukan 2-2.

Namun, pada minit ke-85, Sean Gan Giannelli muncul wira buat KL City apabila menjaringkan gol ketiga pasukan, dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan