KUCHING, 8 Mac: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru semua pihak agar mengelakkan isu-isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian negara, terutama melibatkan perkara yang menyentuh kepercayaan dan budaya masyarakat lain.
Beliau menegaskan bahawa sikap hormat-menghormati antara kaum dan agama adalah asas kepada kestabilan negara serta menjadi kunci kepada perpaduan rakyat.
“Setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, agama, kebudayaan atau kepercayaan, hendaklah mengelakkan perkara-perkara sensitif, termasuk menyentuh kepercayaan atau amalan budaya yang berbeza daripada kita,” katanya.
Fadillah berkata demikian pada Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), di Kompleks Sukan Satok di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai isu tiga penyampai radio dari sebuah stesen radio swasta yang didakwa menyinggung perasaan penganut Hindu melalui video kontroversi yang mempersendakan tarian kavadi, iaitu upacara suci bagi penganut agama itu semasa perayaan Thaipusam.
Jelas Fadillah, semangat toleransi yang tinggi seperti yang diamalkan di Sarawak dan Sabah, wajar dijadikan contoh bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Bayangkan jika perkara ini berlaku, ia bukan sahaja boleh menimbulkan salah faham, tetapi juga berpotensi mencetuskan ketegangan kaum atau lebih buruk lagi, konflik antara kepercayaan agama.
“Oleh itu, kita perlu mengelakkan situasi sebegini kerana ia boleh merosakkan keharmonian yang telah dibina sekian lama sekiranya perpecahan berlaku dalam masyarakat akibat perbezaan bangsa dan agama,” ujarnya.
Terdahulu, Fadillah turut menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai kepada 15 orang penerima, disusuli dengan penyempurnaan simbolik perasmian serta pengagihan bubur pedas kepada penduduk setempat yang menyertai majlis berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki dan Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman. – TVS