MIRI, 8 Mac: Miri antara daerah terkenal dengan jualan bubuk atau udang geragau sekali lagi menjadi tumpuan apabila musim bubuk melanda sejak awal Mac lalu.
Fenomena tahunan ini membawa limpahan rezeki kepada nelayan dan peniaga kecil yang bergantung kepada hasil laut ini untuk menjana pendapatan.
Penjual bubuk, Noor Azlin Rojin, 28, berkata sambutan pelanggan terhadap jualan bubuk sangat memberangsangkan sejak musim bermula pada 4 Mac lalu.
Menurutnya, dia dan keluarganya menjual bubuk pada harga antara RM4 hingga RM8 sekilogram, bergantung kepada kualiti dan jumlah tangkapan harian.
“Harga bubuk akan berubah setiap hari mengikut jumlah tangkapan yang kami perolehi.
Jika hasil tangkapan banyak, kita kenakan harga lebih rendah, dan begitu juga sebaliknya,” katanya kepada Suara Sarawak.
Noor Azlin menyatakan bahawa bubuk yang dijual adalah hasil tangkapan bapa dan dua orang adiknya seawal jam 5 pagi.
“Bapa saya merupakan seorang nelayan sejak berusia 15 tahun.
Selain menjual bubuk, keluarga kami juga menjual ikan kepada pelanggan,” tambahnya.
Pelanggan yang ingin mendapatkan bubuk segar boleh datang terus ke lokasi jualannya di Piasau Utara atau menghubunginya di talian 014-6904579 untuk membuat tempahan.
Selain itu, tinjauan Suara Sarawak di laman Facebook Miri Community mendapati ramai nelayan dan peniaga berkongsi gambar serta video hasil tangkapan mereka, menunjukkan kemeriahan musim ini.
Kebanyakan penjual menjual bubuk dari harga RM3 dan ke atas sekilo kepada pelanggan.
Bagi penggemar makanan ini, mereka boleh kunjungi lokasi utama penjualan bubuk di Batu 1 Kuala Baram, Piasau Utara, dan beberapa tempat lain.
Setiap tahun, musim bubuk di Miri menjadi tumpuan ramai, khususnya nelayan dan peniaga kecil.
Fenomena ini, yang biasanya berlaku antara Februari hingga April, menyaksikan kemunculan udang geragau dalam jumlah besar di perairan sekitar Miri.
Bubuk yang segar ini bukan sahaja menjadi bahan utama dalam pembuatan belacan dan cencaluk, tetapi kini turut menjadi produk laris di platform media sosial.-TVS