Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Pelancaran Pembinaan Rumah Mampu Milik Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan, Lawas hari ini. Foto Salasiah Safian (TVS)

81 SPS dan SPK diluluskan dengan anggaran peruntukan RM1.436 bilion

BySalasiah Safian

LAWAS, 8 Mac: Sehingga 28 Februari 2025, sebanyak 81 projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) telah diluluskan bagi penyediaan 7,925 lot kediaman dengan kos pelaksanaan dianggarkan berjumlah RM1.436 bilion.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, daripada 81 projek tersebut, 24 projek telah siap sepenuhnya mengikut skop pembangunan dan baki 57 projek akan diteruskan sehingga penghujung RMKe-12 iaitu tahun 2025 ini.

Daripada jumlah tersebut, dua (2) buah projek telah pun siap disediakan tapak dan kemudahan infrastruktur mengikut spesifikasi baharu iaitu SPK Kampung Dato, Kuala Lawas dan SPK Sundar, Lawas.

Manakala baki enam (6) projek yang lain, berada dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan termasuk SPK Trusan.

“Kita ada macam di bawah kendalian Jabatan Tanah dan Survei, di Lawas ini kita ada lapan Skim Pembesaran Kampung. Bukan sahaja di Trusan, dan yang baru-baru ini diluluskan juga oleh YAB Premier melalui projek rakyat Skim Pembesaran Kampung Long Tuan di Trusan. Yang akan dikendalikan oleh LCDA.

“Jadi projek SPK, SPS ini ada yang dilaksana oleh Jabatan Tanah dan Survei ada yang dilaksana oleh LCDA. Dan kita di bahagian utara ini ada juga dilaksanakan oleh NRDA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Pembinaan Rumah Mampu Milik Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan, Lawas di sini hari ini.

Selain membina rumah kediaman, Kerajaan Sarawak turut menyediakan infrastruktur yang lengkap seperti jalan raya, parit konkrit, lot-lot yang ditembok dan sistem retikulasi bekalan air serta bekalan elektrik.

Pembangunan infrastruktur mengikut spesifikasi baharu ini melibatkan purata kos sebanyak RM150,000 bagi setiap lot.

Kesemua projek SPK dan SPS juga disediakan tapak untuk kemudahan awam dan kemudahan sosial seperti tadika, tempat riadah dan rumah ibadat.

Rumah kediaman ditawarkan kepada pemilik lot SPK dan SPS yang layak dan mereka boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan kewangan yang ditawarkan oleh Mutiara Mortgage And Credit Sdn Bhd. dengan faedah yang rendah bagi kumpulan B40 sebanyak satu peratus dan tiga peratus bagi kumpulan M40.

Sementara itu, untuk SPK Trusan atau juga dikenali sebagai SPK Trusan Baazar ini, Kerajaan Sarawak telah menyediakan 59 lot kediaman dalam kawasan seluas 7.5 hektar.

Kos peruntukan awal sebanyak RM12 juta telah diluluskan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sebelum ini bagi kerja-kerja pengambilan balik tanah (land acquisition), mereka bentuk, penyediaan tapak dan infrastruktur serta utiliti yang telah siap dilaksanakan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan