KUCHING, 8 Mac: Kejohanan Futsal Terbuka Piala Belia Bawah 30 Tahun 2024 anjuran Kelab Belia Pekan Debak (KBPD) Betong akan berlangsung dari 11 hingga 13 April depan.
Ketua Teknikal Kejohanan, Saiful Hanizam, memberitahu bahawa kejohanan yang turut mendapat sokongan daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSNS) itu terhad kepada 32 pasukan sahaja.
Menurut Saiful, Pusat Sukan Riveria, Debak, akan menjadi gelanggang rasmi bagi kejohanan tiga hari ini.
“Penyertaan sudah dibuka, dan kita mengalu-alukan pasukan yang berminat untuk mendaftar sekarang.
Sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Mohd. Khuril di talian 012-8045242 dan Mardiazie di talian 013-9893513,” ujar Saiful kepada Arena Suara Sarawak.
Tegas Saiful, yuran pendaftaran untuk setiap pasukan ditetapkan pada RM200, dengan tarikh tutup pendaftaran ialah 6 April depan.
Katanya, hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM4,000 menanti tiga pasukan terbaik.
“Juara akan menerima wang tunai RM2,000 beserta piala dan pingat. Naib juara pula akan menerima wang tunai RM1,000, selain piala dan pingat,” tambah Saiful.
Sementara itu, dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM500 dan pingat sebagai pemenang tempat ketiga bersama.-TVS