KUCHING, 8 Mac: Seramai 30 kanak-kanak daripada Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) diraikan pada Majlis Berbuka Puasa anjuran bersama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) hari ini.
Majlis yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre itu turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis itu, Abang Johari turut berkesempatan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 30 kanak-kanak berkenaan serta penyerahan cek simbolik bernilai RM25,000 kepada PERYATIM Sarawak.
Selesai sesi penyerahan sumbangan, Abang Johari seterusnya menunaikan solat Isyak dan terawih bersama jemaah sebelum mengakhiri majlis dengan jamuan moreh.
Hadir pada majlis itu termasuk Pengerusi SDEC, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SDEC, Dato Ir Ts. Sudarnoto Osman, CEO CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman serta CEO DBOS, Datu Laura Lee Ngien Hion.
Turut serta, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. – TVS