MUKAH, 7 Mac: Sebanyak 1,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada penduduk sekitar Mukah termasuk jemaah yang selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Setia Raja Mukah.
Program Jerayawara Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) itu berlangsung meriah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine turut hadir menyempurnakan program tersebut yang bermula sekitar jam 2 petang.
Menurut Royston, program tersebut merupakan platform mengeratkan hubungan masyarakat.
“Melalui program seperti ini, kita dapat melihat semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk setempat terutama pada bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya.
Program tersebut turut mendapat sokongan daripada Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tellian, Skuad Antidadah Daerah Mukah, Kelab Trendak, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dan WEIDA.-TVS