KLANG, 7 Mac: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu telah merampas e-waste bernilai lebih RM33 juta selepas menyerbu sebuah premis di Pelabuhan Klang, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, ACP Rusley Chi Ari berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dalam serbuan itu.
“Pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut mendapati sejumlah barangan buangan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Antara barangan yang dirampas ialah tembaga sebanyak 16,100 kilogram (kg), aluminium yang telah diproses sebanyak 207,900kg, aluminium belum diproses sebanyak 112,000kg, serta aluminium yang telah dicampur sebanyak 7,000kg.
“Selain itu, turut dirampas campuran e-waste yang belum diproses sebanyak 23,100kg, sisa e-waste campuran sebanyak 787,500kg, dan aluminium yang telah dimampat sebanyak 81,000kg,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rusley berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas tiga buah forklift, sebuah lori, dan beberapa mesin yang digunakan untuk memproses e-waste.
Rusley menambah, kesemua rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor atas kesalahan di bawah Seksyen 18(1), 19, dan 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Di bawah Seksyen 34A, sekiranya tertuduh didapati bersalah, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi Seksyen 34B, jika didapati bersalah, pesalah boleh dipenjara maksimum lima tahun serta didenda sehingga RM500,000,” ujarnya.
Rusley menegaskan bahawa tangkapan dan rampasan ini merupakan kejayaan dalam mengekang kegiatan pemprosesan e-waste secara haram di sekitar Lembah Klang. – TVS