KUCHING, 7 Mac: PETROSNiaga Sdn Bhd, cabang runcit gas petroleum cecair (LPG) bagi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), sedang bekerjasama rapat dengan PUSAKA Integrated Resources Sdn Bhd (PIRSB) membina kilang pengisian semula sementara di Bintulu.
PETROS memaklumkan langkah ini adalah untuk memenuhi keperluan bekalan di utara Sarawak susulan kejadian tanah runtuh pada Januari lepas yang menjejaskan operasi fasiliti LPG sekali gus menjejaskan bekalannya di wilayah utara Sarawak.
“Kemudahan sementara ini boleh menghasilkan sehingga 50 peratus daripada kapasiti asal kilang sedia ada dan dijangka beroperasi menjelang awal April.
“Pemulihan kilang sedia ada sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa sehingga enam bulan,” kata PETROS, hari ini.
Sementara itu, PETROSNiaga sedang melaksanakan beberapa langkah untuk memastikan gangguan bekalan minimum di Wilayah Utara.
Terminal Minyak Bebas Senari (IOT) di Kuching telah meningkatkan pengeluaran dari purata harian sebanyak 13,000 silinder kepada kira-kira 26,000 silinder, yang mencukupi untuk memenuhi permintaan harian Sarawak sebanyak 25,000 silinder.
Ini disokong lagi dengan langkah-langkah kecemasan termasuk penubuhan depot untuk kapasiti simpanan tambahan di wilayah utara.
Bagi meningkatkan bekalan ke kawasan dengan permintaan tinggi seperti Miri, Bintulu dan Sibu, jumlah pengangkut dan silinder LPG telah ditingkatkan dengan ketara, memastikan penghantaran yang lebih cepat dan konsisten.
“Usaha-usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan untuk mengekalkan bekalan yang boleh dipercayai untuk kegunaan rumah dan komersial,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu turut menyebut, PETROSNiaga sedang mendapatkan bekalan LPG tambahan dari Sepanggar Bay di Sabah untuk mengukuhkan bekalan ke utara Sarawak dan situasi dijangka akan kembali normal dalam tempoh seminggu.
Sehubungan dengan itu, PETROS menegaskan bahawa harga LPG subsidi untuk kegunaan rumah kekal tidak berubah pada RM26.60 per silinder apabila diambil dari pengedar dan penjual yang sah.
“PETROSNiaga kekal komited untuk memastikan bekalan LPG yang stabil dan boleh dipercayai di seluruh Sarawak,” katanya.