KUCHING, 7 Mac: Acara larian tahunan Sarawak Energy Isthmus Run kembali untuk edisi ke-10 pada 10 Ogos ini dengan pelbagai pembaharuan menarik, termasuk pengenalan kategori Maraton Penuh 42 kilometer buat pertama kalinya.
Kejohanan yang semakin mendapat perhatian ini turut mencatat sejarah baharu apabila ia secara rasmi menjadi ahli Association of International Marathons and Distance Races (AIMS), mengangkat reputasinya ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi Penganjur, Yusri Safri, berkata penganjuran kali ini bukan sekadar acara sukan, tetapi juga platform untuk menggalak gaya hidup sihat, membina semangat komuniti serta menyumbang kepada kebajikan masyarakat.
“Kami teruja dengan sambutan luar biasa masyarakat terhadap edisi ke-10 ini.
“Sarawak Energy Isthmus Run terbuka kepada semua, sama ada pelari berpengalaman mahupun mereka yang pertama kali menyertai acara larian.
“Kami berharap acara ini menjadi hari yang bermakna untuk kecergasan, semangat kesukanan dan kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain kategori baharu itu, acara larian ini juga mengekalkan acara Separuh Maraton 21 kilometer, Larian Kompetitif 10 kilometer dan Larian Santai 5 kilometer bagi menarik penyertaan pelari dari pelbagai peringkat.
“Edisi kali ini turut menawarkan jumlah hadiah wang tunai tertinggi dalam sejarah penganjurannya, iaitu sebanyak RM185,000.
“Pemenang kategori Terbuka Lelaki dan Wanita bagi Maraton Penuh 42 kilometer masing-masing membawa pulang RM10,000, selain hadiah menarik yang turut disediakan bagi pemenang kategori lain,” tambahnya lagi.
Terdahulu, acara larian ini pernah mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 3,615 peserta, termasuk 117 dari negeri lain di Malaysia dan 33 pelari antarabangsa dari Brunei, Singapura, Indonesia, Filipina, Jepun, Korea Selatan, Kenya, Belanda dan Belgium pada tahun lalu.
Sebagai acara berteraskan komuniti, keseluruhan hasil yuran pendaftaran disalurkan kepada badan kebajikan.
Pendaftaran awal masih dibuka sehingga 15 Mac ini dengan kadar istimewa bagi setiap kategori.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar di www.sarawakenergyisthmusrun.com sebelum tarikh tutup. Untuk maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi Evendura di talian +6011-2623 7368 atau menghantar e-mel ke contact@sarawakenergyisthmusrun.com. -TVS