KUCHING, 6 Mac: Sarawak Delta Geopark (SDGp) meneruskan usahanya untuk mendapat status UNESCO Global Geopark (UGGp) dengan menganjurkan bengkel penilaian kendiri selama tiga hari di Waterfront Hotel bermula 4 hingga 6 Mac lepas.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), bengkel tersebut diadakan bertujuan menilai status semasa SDGp dan memastikan semua kriteria ditetapkan UNESCO dipenuhi sebelum penilaian rasmi dilaksanakan.
Ia menghimpunkan pelbagai agensi di bawah Tadbir Urus SDGp bersama penasihat geopark bagi mengenal pasti aspek perlu diperkukuh termasuk pemuliharaan geologi, kelestarian alam sekitar, pemerkasaan komuniti, pembangunan ekonomi lestari serta promosi dan pendidikan berkaitan geopark.
Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad menekankan kepentingan kerjasama antara semua pihak berkepentingan dalam memastikan SDGp mencapai status global.
“Kejayaan memperoleh status UNESCO Global Geopark bukan sahaja akan meningkatkan profil Sarawak sebagai destinasi geopelancongan bertaraf dunia tetapi juga memberikan manfaat ekonomi dan sosial kepada komuniti setempat melalui pelancongan lestari serta program pembangunan komuniti,” katanya dalam kenyataan media.
Dengan penganjuran bengkel tersebut, Sarawak Delta Geopark katanya semakin hampir merealisasikan impian untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak terus memberikan sokongan dan komitmen demi manfaat jangka panjang kepada Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya.-TVS