KUCHING, 6 Mac: Sarawak terus berusaha memperkasa industri pelancongan rentas sempadan melalui kerjasama strategik dengan negara di Kepulauan Borneo dan perkhidmatan kewangan Scania.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha tersebut bertujuan meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan pengangkutan kepada pelancong dari luar negara khususnya Indonesia.
Menurutnya, satu daripada cabaran utama yang dihadapi dalam memperkasakan pelancongan rentas sempadan adalah kekurangan pengangkutan awam yang cekap terutamanya bas.
“Terdapat jurang besar dalam sistem pengangkutan antara kedua-dua negara yang mana bas dari Sarawak tidak dibenarkan memasuki Indonesia sementara bas inovasi Indonesia boleh memasuki kawasan Sarawak.
“Masalah pengangkutan ini perlu diselesaikan segera. Kami memerlukan ekosistem pengangkutan lebih baik untuk memastikan pelancong dapat menikmati perjalanan selesa dan mudah antara kedua-dua negara.
“Ini adalah komponen penting dalam memperkukuh industri pelancongan rentas sempadan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Seni, Budaya dan Warisan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dr Elena Gregoria Chai.
Menurut Karim, kementeriannya juga berusaha meningkatkan penyediaan pengangkutan awam dan kemudahan lain di seluruh wilayah ini bagi menyokong acara besar dan aktiviti pelancongan lebih mampan.
“Kerjasama dengan agen pelancongan dan pihak berkepentingan lain akan memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat ini,” ujarnya.
Beliau berkata, kementeriannya menyambut baik pelancaran bas generasi baharu Scania yang dilengkapi dengan ciri keselamatan dipertingkatkan, teknologi canggih dan kemudahan mesra penumpang.
“Bas ini yang dibangunkan dengan mengambil kira keselesaan dan keselamatan pemandu serta penumpang dijangka dapat meningkatkan pengalaman perjalanan bagi pelancong yang melawat Sarawak,” jelasnya. -TVS