BERLIN, 6 Mac: Sarawak melancarkan inisiatif pelancongan di tapak pameran International Trade Business (ITB) Berlin 2025 baru-baru ini.
Menurut kenyataan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), inisiatif tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing.
Dalam ucapannya, Datuk Sebastian Ting mempelawa masyarakat global ke Pavilion Sarawak untuk menyaksikan keunikan Bumi Kenyalang dari segi budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival.
“Sarawak yang dikenali sebagai Bumi Kenyalang menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan yang mana budaya, pengembaraan, alam semulajadi, makanan dan perayaan disatukan untuk mencipta pengalaman luar biasa,” katanya.
Beliau turut menekankan kepelbagaian budaya di wilayah ini dihidupkan di Muzium Budaya Borneo iaitu muzium terbesar di Malaysia dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara. – TVS