KUALA LUMPUR, 6 Mac: Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang menandakan pemisahan kuasa antara Parlimen dan eksekutif.
Mereka berpandangan kelulusan itu membuka laluan bagi memperkukuhkan demokrasi negara.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee pada masa sama turut mencadangkan agar peruntukan kepada Ahli Parlimen ditambah bagi memperkukuhkan peranan pusat khidmat.
“Ketika ini, peruntukan memang ada, tetapi ia perlu ditambah baik. Kita berurusan dengan rakyat setiap hari, jadi peningkatan peruntukan akan membolehkan pusat khidmat memberikan perkhidmatan yang lebih baik.
“Selain itu, saya juga mencadangkan agar peruntukan tambahan diberikan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen kerana peruntukan sedia ada masih terhad,” katanya kepada TVS di Parlimen hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, turut menyokong RUU berkenaan dan menyifatkannya sebagai kejayaan bersejarah selepas 33 tahun ketiadaan undang-undang pemisahan kuasa antara Parlimen dan eksekutif.
“Buat kali pertama kita berjaya memperkenalkan semula RUU ini bagi memastikan pemisahan kuasa yang lebih jelas antara Parlimen dan eksekutif. Ini akan membolehkan Parlimen berfungsi dengan lebih bebas dan telus, tanpa pengaruh luar,” katanya.
Roy Angau juga menekankan kepentingan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP), yang akan bertanggungjawab dalam aspek pelantikan, pengurusan kewangan, serta pembangunan latihan untuk anggota Parlimen.
“Langkah ini akan meningkatkan kecekapan dan profesionalisme Parlimen sebagai sebuah badan legislatif yang bebas dan berkesan. Saya mengalu-alukan kelulusan RUU ini dan mengucapkan tahniah kepada semua ahli Parlimen yang telah menjayakannya,” tambahnya.
Semalam, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 selepas dibahaskan 35 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said diluluskan melalui undi suara, dengan lebih suara bersetuju.
RUU itu seterusnya dibaca buat kali ketiga dan mendapat jumlah undian majoriti Dewan Rakyat dan akan dibawa ke Dewan Negara.
Pada 24 Februari lepas, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. -TVS.