MIRI, 6 Mac: Pelbagai jenis rokok dan minuman keras yang disimpan tanpa label bercukai dan tidak mempunyai pelekat setem Kastam Diraja Malaysia bernilai kira-kira RM1 juta dirampas di Permyjaya pada Rabu.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, ACP Ab Rahman Mat Hasan berkata rampasan itu dilakukan susulan pemeriksaan oleh Unit Risikan Marin (URM) PPM W5 Miri ke atas sebuah stor kedai.
“Setelah menunggu lebih kurang satu jam dan tiada mana-mana individu yang tampil untuk menuntut dan mengaku pemilik barangan terbabit, kesemua rampasan dibuat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Barang rampasan diserah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk tindakan dan siasatan di bawah Akta Kastam 1967.
Menurutnya, secara keseluruhan bagi tempoh 1 Januari hingga 5 Mac 2025, PPM Wilayah 5 melakukan 43 serbuan di Sarawak.
Menerusi serbuan itu, pihaknya menahan 34 orang atas pelbagai kesalahan yang melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar dan di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM35,509,268.63.