MIRI, 6 Mac: Seramai 60 nelayan yang terjejas akibat banjir di sekitar Miri menerima sumbangan daripada PETRON pada Mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Miri Kali Ke-46 di Dewan Suarah Miri, hari ini.
Pengarah Pejabat Pendaftar Persatuan Nelayan Malaysia, Mohd Fauzi Ghazali, menzahirkan rasa penghargaan kepada PETRON Malaysia atas komitmen mereka dalam membantu komuniti nelayan yang terkesan.
“Kami amat berterima kasih kepada PETRON Malaysia atas sumbangan ini yang sedikit sebanyak meringankan beban nelayan, terutamanya mereka yang mengalami kerugian akibat banjir,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan tersebut.
Dalam perkembanga lain, beliau berkata pengurusan persatuan yang lebih sistematik amat penting dan beliau menyeru golongan belia untuk lebih aktif dalam menyertai persatuan.
“Kita juga menyedari bahawa terdapat kekurangan dalam amalan praktis di dalam Persatuan Nelayan. Oleh itu, kita amat menggalakkan penyertaan golongan belia, khususnya dalam program yang melibatkan anak muda, bagi memastikan kesinambungan dan kelangsungan persatuan pada masa hadapan,” ujarnya.
Tambahnya, setiap ahli persatuan mempunyai saham tersendiri dan berhak menerima pulangan berdasarkan keuntungan yang diperoleh.
“Dalam persatuan ini, setiap ahli mempunyai saham tersendiri. Apabila persatuan memperoleh keuntungan, ia akan dikembalikan kepada ahli mengikut bahagian saham masing-masing.
“Sebagai contoh, jika seorang ahli memiliki saham bernilai lima ringgit, mereka akan menerima pulangan 10% daripada keuntungan tersebut,” tambahnya.
Selain sumbangan kepada mangsa banjir, 20 anak nelayan turut menerima Tabung Bantuan Pelajaran daripada PNK Miri bagi meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sarawak, Hasbie Mokti; Pegawai Wilayah LKIM Wilayah III Miri, Nor Shazana Zukepli; dan Pegawai Kanan Perniagaan PETRON, Anthony Juin.