MUKAH, 6 Mac: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) berharap penanaman nanas varieti Sarawak Gold 1 (SG1) dalam masa terdekat dipertimbangkan.
Menurut kenyataan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), saranan itu dinyatakan Timbalan Menteri Industri Makanan Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail kepada anak syarikat LCDA iaitu LCDA Agri Business Sdn Bhd (LABSB).
Beliau pada Rabu mengadakan lawatan kerja sehari ke tapak ladang nanas yang diusahakan LABSB di Mukah.
“Lawatan kerja dimulakan dengan sesi taklimat oleh George Lentton Indang, Ketua Pegawai Operasi LABSB berkenaan dengan perkembangan terkini ladang nanas LCDA yang berkeluasan 52 hektar bertanam dengan nanas varieti MD2 dan Golden Diamond,” menurut kenyataan tersebut.
Dr. Abdul Rahman Ismail yang juga Ahli Lembaga Pengarah LABSB turut memberikan penerangan berkenaan dengan usaha M-FICORD dalam kelestarian industri makanan dan perancangan pengembangan industri nanas di Sarawak.
“Lawatan ini menyokong rancangan pengembangan pertanian negeri menjelang tahun 2030. Ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada ekonomi tempatan dan negeri serta meningkatkan daya saing produk pertanian Sarawak di peringkat global,” jelas kenyataan tersebut. – TVS