Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian

Integriti aspek penting tentukan pembangunan mampan di Sarawak

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 6 Mac: Integriti menjadi aspek paling kritikal dalam memastikan pembangunan mampan di Sarawak menjelang 2030.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, menjelang tahun 2030, Kerajaan Sarawak bakal diamanahkan dengan lebih RM20 bilion dana berbanding kini.

Sehubungan itu menurutnya, penjawat awam perlu memperkukuh integriti bagi memastikan pengurusan dana yang telus dan berkesan.

“Sarawak akan menjadi lebih makmur pada masa kini, bermakna bajet akan melebihi RM20 bilion.

“Jika kita melihat kembali pada tahun 2018, bajet kita hanya RM5.8 bilion, dan menjelang 2028, ia harus lebih tinggi daripada tahun ini. Jumlah wang yang diamanahkan kepada anda telah meningkat dengan begitu ketara.

“Oleh itu, adalah penting bagi penjawat awam Sarawak untuk sentiasa mengingatkan diri sendiri dan memperkukuhkan integriti terutamanya ketika kita bergerak menuju Wawasan 2030,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak 2025 di sini, hari ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian menyaksikan penyerahan simbolik perasmian Penganugerahan Sijil MS ISO 37001: 2016 Anti-Bribery Management System (ABMS) oleh
Pengarah Wilayah, SIRIM Berhad Sarawak, Shahrizan Mohammad Sahmoni (kanan) kepada Pengarah Pengairan dan Saliran Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Haji Ahmad Fauzi. Foto TVS

Pada masa sama, Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, integriti penjawat awam adalah penting dalam menguruskan sesuatu amanah memandangkan JPS merupakan salah satu daripada tiga jabatan teknikal utama di Sarawak bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan yang dijangka menguruskan lebih banyak projek besar dan peruntukan dana pada masa hadapan.

Katanya, kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan JPS bakal menjadi lebih teguh berbanding sebelum ini.

“Terutamanya dalam menangani perubahan iklim, sama ada kita suka atau tidak, ia memberi kesan kepada kita menyebabkan banyak kerosakan dan penderitaan.

“Oleh itu, kita menjangkakan lebih banyak usaha (daripada jabatan) dan peningkatan pembiayaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Sim menjelaskan pensijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) kepada jabatan itu pada tahun lepas bukan sekadar pengiktirafan kepada usaha jabatan itu dalam usaha memperkukuh tadbir urus malah hendaklah menumbuhkan sikap integriti dalam diri setiap individu.

“Ia bermula dari kita secara individu dan bersama untuk memastikan tadbir urus yang baik serta mengatasi isu penyalahgunaan kuasa, pembaziran sumber, pecah amanah, penyelewengan dan ketirisan dana awam.

“Walaupun banyak perubahan telah dibincangkan, persoalannya adalah sama ada ia benar-benar diamalkan atau tidak,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah JPS Sarawak, Datu Ahamad Denney Ahmad Fauzi berkata, JPS merupakan jabatan teknik pertama di Sarawak yang memperoleh sijil ABMS.

Pengiktirafan itu katanya menunjukkan komitmen jabatan itu dalam mengamalkan standard tertinggi dalam pengurusan tatakelola yang baik serta sentiasa mengambil langkah pencegahan awal daripada berlakunya risiko rasuah.

“JPS Sarawak akan terus komited melaksanakan semua inisiatif dan program bagi membudayakan integriti dalam kalangan warganya serta memastikan nilai integriti menjadi asas dan pegangan dalam apa jua perkara yang kita lakukan,” kata Ahmad Denney. – TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan

No data was found