Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Polis mengesahkan seorang akauntan dan pesara guru menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lumayan sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhan RM414,902.67. Foto Envato

Dua individu rugi lebih RM400,000 ditipu sindiket pelaburan tidak wujud

ByBernama

KUANTAN, 6 Mac: Polis mengesahkan seorang akauntan dan pesara guru menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lumayan sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhan RM414,902.67 di sini bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata dalam kes pertama, akauntan wanita berusia 21 tahun itu mengalami kerugian RM240,467.61 selepas tertarik melihat iklan pelaburan di aplikasi Instagram.

Beliau berkata mangsa menerima satu pesanan WhatsApp daripada nombor tidak dikenali sebaik menekan pautan pada iklan itu, yang menerangkan mengenai skim pelaburan berkenaan.

“Wanita itu kemudiannya membuat pemindahan wang atas talian melalui bank milik syarikat dan akaun banknya sebanyak 16 kali transaksi ke lapan akaun berbeza.

“Bagaimanapun, mangsa tidak memperoleh sebarang pulangan dan membuat laporan polis apabila menyedari ditipu. Wang yang digunakan adalah wang milik mangsa dan wang syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes berasingan, Yahaya berkata seorang lelaki berusia 80 tahun kerugian RM174,435.06 selepas tertarik untuk menyertai satu pelaburan pada Oktober tahun lepas setelah menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.

“Mangsa membuat pelaburan hampir RM60,000.00 dan memantau pelaburannya menerusi satu aplikasi. Dari Oktober 2024 sehingga Februari 2025, mangsa mendapati pelaburannya meningkat sehingga USD3 juta. Mangsa meminta untuk mengeluarkan semua wang, namun dia diarahkan membayar cukai RM114,435.06.

“Mangsa kemudiannya membuat satu transaksi bayaran cukai itu ke dalam akaun yang diberikan suspek dan mula menyedari ditipu setelah didesak untuk membuat bayaran cukai lain dengan jumlah lebih besar. Wang itu adalah simpanan mangsa,” katanya.

Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan