KUALA LUMPUR, 6 Mac: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang meneliti cadangan untuk mengklasifikasikan jenayah alam sekitar di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu bertujuan untuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti yang menjejaskan alam sekitar, khususnya penyeludupan sisa elektronik (e-waste).
Jelas beliau kementerian turut bercadang untuk menurunkan kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan keupayaan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah alam sekitar.
“Kerajaan memandang serius isu penyeludupan e-waste ke dalam negara.
“Malaysia melarang pengimportan e-waste selaras dengan dasar semasa serta Pindaan Larangan di bawah Konvensyen Basel, yang melarang negara-negara maju daripada mengeksport sisa berbahaya ke negara membangun,” katanya pada Waktu – Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (Perikatan Nasional – Setiu) yang ingin tahu tindakan tegas yang diambil oleh kementerian untuk membanteras penyeludupan e-waste ke dalam negara, susulan serbuan besar-besaran ke atas kilang haram memproses sisa elektronik di beberapa negeri baru-baru ini.
Sementara itu Nik Nazmi menjelaskan Op Hazard yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dengan kerjasama PDRM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), telah berjaya menyita 15,764.90 tan metrik e-waste yang dianggarkan bernilai RM55 juta.
“Pemeriksaan ke atas 47 premis mendapati 30 daripadanya beroperasi secara haram, tujuh merupakan premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah JAS, tiga premis berlesen di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan satu lagi merupakan gudang haram,” katanya.
Menurut beliau, lokasi premis-premis ini bukan sahaja terletak di kawasan industri tetapi turut dikesan di luar kawasan seperti tanah rizab, ladang kelapa sawit dan kawasan hutan.
“Kebanyakan premis ini dikendalikan oleh warga asing dan menggaji pekerja dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau mereka yang menyalahgunakan permit kerja,” katanya. -TVS.