Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dewan Rakyat dimaklumkan sebanyak 640 tan kelapa tua dari Indonesia, Sabah dan Sarawak dibawa masuk ke Semenanjung Malaysia setiap bulan bagi memenuhi permintaan tinggi Foto,Jabatan Penerangan Malaysia dan Envato.

Dewan Rakyat: 640 tan kelapa tua dari Malaysia Timur, Indonesia dibawa masuk ke Semenanjung Malaysia

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Sebanyak 640 tan kelapa tua dari Indonesia, Sabah dan Sarawak dibawa masuk ke Semenanjung Malaysia setiap bulan bagi memenuhi permintaan tinggi menjelang musim perayaan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehingga 4 Mac 2025, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACO) telah mengimport sebanyak 734 tan metrik kelapa tua dikupas dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian RM2.01 juta.

“Bekalan kelapa tua tersebut seterusnya diedarkan oleh 42 buah Pusat Operasi FAMA ke pasaran melalui 509 buah outlet pemasaran FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), Agrobazaar Rakyat (ABR), Pasar Tani, Pasar Tani Kekal.

“Sebahagian bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 orang usahawan santan di seluruh negara,” katanya  pada Waktu – Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (Pakatan Harapan – Ampang) yang ingin tahu perancangan terperinci jangka pendek, pertengahan dan panjang untuk menangani lonjakan harga produk berasaskan kelapa terutama santan yang boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan dan nilai berteraskan kelapa akibat kekurangan bekalan kelapa tempatan, kenaikan harga kelapa diimport dari Indonesia dan faktor cuaca.

Tambah beliau, langkah berkenaan bertujuan menstabilkan harga dan memastikan kelangsungan bekalan kepada industri pemprosesan santan serta produk berasaskan kelapa lain.

“Peningkatan harga santan sebelum ini berpunca daripada kenaikan harga kelapa import dari Indonesia susulan kekurangan bekalan serta peningkatan eksport kelapa negara itu ke China.

“Trend petani tempatan yang lebih cenderung menjual kelapa muda berbanding kelapa tua turut menyumbang kepada bekalan yang tidak mencukupi untuk pemprosesan santan kerana harga yang lebih tinggi dan tempoh tuaian yang lebih singkat.

“Faktor cuaca seperti kemarau dan banjir juga memberi kesan kepada pengeluaran kelapa di ladang,” dedahnya lagi.

Bagi menangani cabaran itu dalam jangka sederhana dan panjang, beliau menjelaskan kementeriannya melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk insentif kepada petani, pembangunan varieti kelapa berhasil tinggi seperti Kelapa Matag dan Kelapa Pandan, serta pelaksanaan Projek Pengukuhan Pengeluaran Benih Kelapa bagi meningkatkan pengeluaran domestik.

“Menerusi langkah-langkah yang diambil itu, kita yakin masalah lonjakan harga santan dapat dikawal dalam jangka pendek dan diperbaiki dalam jangka panjang melalui peningkatan hasil tempatan,”katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan