KUCHING, 6 Mac: Penggunaan bas pelancong Semi Hi-Deck bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi tetapi mengurangkan pelepasan karbon sehingga sembilan peratus.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia sekali gus menyokong Visi Kelestarian Sarawak 20230 dan membangunkan sistem pengangkutan lebih mampan.
“Khaimal Borneo Travel & Tours Sdn Bhd mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Scania New Bus Generation (NBG) Euro 5 ke dalam operasinya.
“Inisiatif Khaimal Borneo dilihat sebagai satu langkah penting dalam mencapai sasaran negeri yang membangun secara lebih lestari,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Scania New Bus Generation (NBG) Euro 5 di sini, hari ini.
Teks ucapan Karim dibacakan oleh Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dr Elena Gregoria Chai.
Menurut Karim, mobiliti hijau adalah kunci kepada pengurangan gas rumah hijau (GHG) di Sarawak.
Beliau menambah, inisiatif tersebut membuktikan sektor pelancongan boleh berkembang selari dengan usaha pemuliharaan alam sekitar dan menjadikan Sarawak sebagai negeri contoh yang mengutamakan pembangunan lestari dan teknologi hijau.
“Dengan adanya sistem pengangkutan lebih cekap, kemudahan hotel baik dan infrastruktur moden, Sarawak diyakini mampu menarik lima juta pelancong tahun ini seterusnya mengukuhkan kedudukannya di peringkat serantau dan antarabangsa,” ujarnya. -TVS