SUBANG JAYA, 6 Mac: Tiga syarikat penerbangan tempatan menawarkan lebih 100,000 tempat duduk tambahan pada harga maksima menjelang sambutan Aidilfitri hujung bulan ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Batik Air sebagai contoh akan menyediakan lebih 22,000 kapasiti penerbangan seminggu sebelum Aidilfitri.
Kata beliau, AirAsia dan Malaysia Airlines (MAS) turut menyahut seruan kerajaan dengan menyediakan tambahan penerbangan tengah malam pada harga maksima.
“Biasanya setiap tahun pada musim perayaan, (permintaan) akan melonjak namun apa yang penting ada penambahan penerbangan.
“Berdasarkan pengalaman saya, tempat duduk yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan ini akan penuh.
“(Ini kerana pada awalnya) ada yang tak mahu pulang ke kampung namun apabila mereka lihat ada tambahan penerbangan, akan galakkan mereka balik ke negeri masing – masing sempena Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir melancarkan harga tetap bagi penerbangan tambahan tengah malam sempena musim perayaan oleh Batik Air di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy.
Menerusi tawaran itu, syarikat penerbangan berkenaan menawarkan harga tiket tetap sehala pada kadar RM319 untuk penerbangan ke Sarawak dan RM379 ke Sabah menerusi Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Terminal 1 dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Mengenai komitmen Batik Air sempena musim perayaan ini, Anthony berkata, syarikat penerbangan itu yang memiliki 51 pesawat ketika ini telah menambah sehingga 140 kekerapan penerbangan ke Kota Bharu, Alor Setar, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Sibu, Sandakan dan Tawau.
“Tambahan penerbangan ini akan memberikan lebih kemudahan dan memastikan lebih ramai dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan,” katanya. -TVS.