ASAJAYA, 6 Mac: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) akan mengagihkan lebih RM1.6 juta kepada 16,118 penerima di seluruh Sarawak menerusi program Sejambak Kasih Aidilfitri 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, berkata bantuan itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Sejambak Kasih Aidilfitri ini juga untuk membantu meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri Samarahan di Masjid An-Najah di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap ADUN Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Timbalan Pengarah JKMS, Norhayati Abdul Rahman, dan Temenggong Bahagian Samarahan, Chek Bujang.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata daripada jumlah penerima tersebut, seramai 4,465 penerima adalah di Kuching, manakala di Samarahan (2,436), Serian (250), Sri Aman (546), Betong (2,398), Sarikei (376), Sibu (762), Mukah (2,365), Kapit (51), Bintulu (516), Miri (736), dan Limbang (1,215).
Sementara itu, berhubung bantuan bulanan JKMS, Fatimah berkata dari Januari hingga Februari tahun ini, JKMS telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM49,200,500 kepada 54,384 penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.
“Pemberian bantuan kewangan bulanan kepada golongan yang memerlukan bertujuan membantu mereka dalam menghadapi kesusahan agar kesempitan hidup mereka dapat dikurangkan.
“Tidak dinafikan, bantuan ini telah banyak membantu terutama dalam perbelanjaan membeli keperluan asas seperti makanan dan minuman, persekolahan anak-anak, tambang bagi mendapatkan rawatan, serta membeli keperluan khas seperti susu khas dan lampin pakai buang (dewasa),” katanya.
Beliau menambah bahawa perkhidmatan bantuan kebajikan juga telah diperluaskan dan sampai ke kawasan pedalaman serta pesisir di seluruh Sarawak.
Katanya, ia adalah hasil kerjasama pelbagai pihak dengan JKMS, termasuk pemimpin masyarakat, media, NGO, serta individu yang telah menyalurkan maklumat mengenai golongan yang memerlukan, sehingga kesempitan hidup mereka dapat dikurangkan. -TVS