MIRI, 5 Mac: Seorang lelaki meninggal dunia manakala seorang lagi cedera selepas bot angin dinaiki karam ketika memancing di sungai Rumah Mekar Sungai Putat, Asam Paya, Kuala Baram di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali Vincent Patrick, 58, manakala rakannya Jeansher Bunsu,27, cedera di bahagian kepala dan cedera pada tangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 11.22 pagi dengan menggerakkan lapan anggota ke lokasi kejadian.
“Maklumat yang diterima daripada pemanggil terdapat dua orang mangsa karam di sungai, salah seorang manga mengalami kecederaan manakala seorang lagi meninggal dunia.
“Setibanya pihak bomba di lokasi, pemandu bot dan rakannya yang meninggal itu sudah berada di jeti, pihak bomba membantu mengangkat mangsa dari jeti bersama pihak polis ke darat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu bot yang mengalami kecederaan, dibawa ke Hospital Miri menggunakan ambulans, manakala mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan sedang menuju ke hulu sungai Baram untuk memancing. Semasa dalam perjalanan, bot angin yang dinaiki mangsa tiba-tiba gagal dikawal menyebabkan bot karam.
“Kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam sungai.Pemandu bot mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan akibat terkena bilah kipas enjin bot angin (inflatable boat) Yamaha 30 HP,” ujarnya.
Katanya, semasa kejadian kedua-dua mangsa diselamatkan penduduk kampung sebuah rumah panjang yang kebetulan ada di sungai ketika itu.
“Kemudiannya mangsa memandu bot ke hilir sungai menuju jeti Rumah Mekar untuk membawa rakannya yang meninggal,” jelasnya.-TVS