KUCHING, 5 Mac: Perkhidmatan awam di Kuching menerima nafas baharu dengan pelancaran BAS.MY Kuching, satu insiatif untuk menyokong usaha ke arah bandar lestari di wilayah ini.
Perkhidmatan bas yang mula beroperasi hari ini telah mendapat pelbagai reaksi positif daripada orang ramai, khususnya dalam kalangan pengguna serta pemandu bas.
Menurut salah seorang pemandu bas, Meran Lugan, 38, BAS.MY Kuching menyediakan pilihan pengangkutan awam yang lebih murah dan selamat.

“Perkhidmatan bas ini untuk memudahkan penduduk Kuching. Contohnya, mereka yang hendak pergi ke Serian, mereka boleh menaiki bas ini.
“Selain itu, bas ini juga menyediakan ruang yang selesa untuk pengguna dan penumpang. Harganya juga berpatutan dan mesra rakyat,” katanya ketika ditemui TVS, hari ini.
Dengan kadar tambang yang berpatutan, perkhidmatan ini juga bagi memastikan semua golongan mampu menikmati perjalanan yang lebih selesa.
Bas yang digunakan juga lebih moden, berhawa dingin serta dilengkapi tempat duduk yang selesa untuk keselesaan penumpang.
Sementara itu, bagi pengguna, tiada ungkapan lain yang dapat diluahkan, selain rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif yang dijalankan sedemikian.
Seorang pengguna, Lim Hui Feng, 52, memaklumkan bawa sistem pembayaran yang fleksibel memberikan kemudahan kepada penumpang untuk membuat pembayaran.

“Tadi (Dato Sri Lee Kim Shin) memaklumkan bahawa pembayaran boleh dibuat melalui Sarawak Pay atau kad. Kalau tiada Sarawak Pay, boleh bayar secara tunai. Harga juga berpatutan,” katanya.
Dalam pada itu, Mustaffa Rosli, 58, turut menyatakan bahawa BAS.MY juga sangat memudahkan pergerakan harian masyarakat selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Siapa yang turun ke tempat kerja, mereka boleh pakai bas untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Kalau mahu pergi Serian juga lebih senang dan mudah,” katanya.
BAS.MY Kuching merupakan sebahagian daripada Projek Transformasi Perkhidmatan Bas Berperingkat (SBST) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Insiatif tersebut menandakan satu langkah penting kerajaan dalam mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di Sarawak.
Selaras dengan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), penambahbaikan pengangkutan awam bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan tetapi juga membantu mengurangkan jejak karbon di negeri ini. – TVS