Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS, Dr Dzul Hadzwan Husaini berpendapat pulangan dividen pada kadar 6.30 peratus itu merupakan satu petanda positif ke arah pemulihan ekonomi sepenuhnya bagi tempoh pasca pandemik. Foto: Mohammed Raffiq (TVS)

KWSP beri pulangan tertinggi kepada ahli sejak 2017

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 5 Mac: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus melakar kecemerlangan selepas memberikan pulangan tertinggi kepada ahli dan pencarumnya berbanding platform pelaburan lain di negara ini.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata, kadar dividen 6.30 peratus yang diumumkan tempoh hari merupakan yang tertinggi dalam tempoh pasca pandemik.

“Pada 2021, kadar dividen adalah 6.10 peratus dan ini adalah yang tertinggi kalau kita lihat bagi tempoh pasca pandemik. Ini adalah petanda yang positif.

“Kadar dividen KWSP ini adalah salah satu kadar dividen yang boleh kita gunakan sebagai indikator untuk melihat betapa sihatnya pasaran modal dan pasaran wang kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di pejabatnya hari ini bagi mengulas mengenai pengumuman kadar dividen KWSP baru-baru ini.

Tambahnya, pulangan itu turut meningkatkan kuasa membeli ahli dan pencarum terutamanya para pesara yang bergantung kepada pendapatan melalui pulangan dividen berkenaan.

“Ini sebenarnya memberi kelegaan kepada pesara terutamanya dalam mereka berdepan dengan masalah kos sara hidup yang tidak menentu.

“Begitu juga dengan pendekatan kerajaan dan KWSP dalam memperkenalkan akaun ketiga iaitu Akaun Fleksibel yang memberi akses kepada pencarum ataupun ahli untuk mengeluarkan simpanan atas keperluan jangka pendek mereka.

“Kita tidak tahu apakah keperluan mereka pada satu-satu masa untuk mengeluarkan simpanan itu,” ujarnya.

Sementara itu, rata-rata pencarum KWSP berpuas hati dengan kadar dividen yang diumumkan baru-baru ini, malah menyifatkannya sebagai pulangan di luar jangkaan.

Pencarum-pencarum KWSP, Alwina Balqis, Azlia Esnayanti dan Mohd Farhan yang ditemui TVS rata-rata berpuas hati dengan kadar dividen yang diumumkan baru-baru ini. Foto: Farhan Daniel (TVS)

Salah seorang pencarumnya yang ditemui TVS, Alwana Balqis, 40, berkata peningkatan pulangan kepada 6.30 peratus itu meningkatkan keyakinan ahli-ahlinya terhadap KWSP.

“Sebagai pekerja swasta, KWSP adalah antara instrumen simpanan yang akan membantu kami apabila sudah bersara kelak. Jadi, dengan peningkatan (kadar) dividen yang baik, ia bukan sahaja menambah keyakinan saya, tetapi seluruh rakyat Malaysia terhadap KWSP,” katanya.

Senada dengannya, Ahli Perbankan, Azlia Esnayanti, 44, berkata para pencarum sebelum ini menantikan pulangan sedemikian memandangkan pada tahun-tahun sebelumnya hanya pada kadar 5 peratus.

“Nampak bahawa ekonomi negara semakin stabil sebab ada peningkatan daripada tahun lepas dengan tahun ini. Kesemua pencarum menantikan dividen sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Farhan, 38, berkata kadar dividen bagi tahun ini meningkatkan keyakinannya untuk terus melabur dalam KWSP.

“Saya harap tahun depan lebih tinggi dari tahun ini,” ujarnya.

1 Mac lepas, KWSP telah mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional, dengan jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan sebanyak RM10.19 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn sebelum ini dilaporkan berkata kadar tersebut merupakan yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2017.

Bagi 2017, KWSP mengisytiharkan dividen 6.90 peratus untuk Simpanan Konvensional manakala 2018 sebanyak 6.15 peratus, 2019 (5.45 peratus), 2020 (5.20 peratus), 2021 (6.10 peratus), 2022 (5.35 peratus), dan 2023 (5.50 peratus).

Bagi Simpanan Shariah, dividen diisytiharkan untuk 2017 sebanyak 6.40 peratus, 2018 (5.90 peratus), 2019 (5.0 peratus), 2020 (4.90 peratus), 2021 (5.65 peratus), 2022 (4.75 peratus) dan 2023 (5.40 peratus). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan