Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Skuad Kuching City FC tidak berdepan masalah menewaskan Sri Pahang FC 2-0 pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi. Foto Kuching City FC

Kuching City tambah derita Sri Pahang

ByBernama

TEMERLOH, 5 Mac: Skuad Kuching City FC tidak berdepan masalah menewaskan Sri Pahang FC 2-0 pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Pasukan pelawat turun beraksi dengan mendahului 1-0 hasil jaringan Yuki Tanigawa pada minit ke-14 sebelum perlawanan ditangguhkan susulan hujan lebat dan padang becak pada aksi 2 Nov tahun lepas.

Sri Pahang dilihat berusaha mengatur serangan, namun Kuching City berjaya menyerap tekanan untuk mengikat perlawanan tanpa jaringan memasuki waktu rehat.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah nyaris menghasilkan gol menerusi David Rowley yang cuba menyambar hantaran Manuel Federico Hidalgo, namun bola itu hanya melewati tiang pada minit ke-50.

Rowley sekali lagi berpeluang meledakkan gol apabila melakukan tendangan dari dalam kotak penalti, tetapi percubaan itu berjaya ditangkap penjaga gol Wan Muhammad Azraie pada minit ke-61.

Kuching City FC akhirnya berjaya menambah jaringan kedua menerusi Zahrul Nizwan Joe Kifli melalui rembatan kencang yang menggegar gawang lawan pada masa tambahan separuh masa kedua, sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan.

Sri Pahang, yang merupakan finalis Piala Malaysia yang akan berlangsung bulan depan, kini melalui saat sukar dalam saingan liga apabila sudah mengharungi lapan perlawanan tanpa kemenangan dengan lima kekalahan dan tiga seri, sekali gus berada di kedudukan ke-11 selepas mengumpul 17 mata.

Kuching City kekal di kedudukan kelima dengan mengutip 30 mata. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan