AMMAN, 5 Mac: Jordan memindahkan 29 kanak-kanak dari Gaza bersama keluarga mereka pada Selasa, menandakan kumpulan pertama daripada 2,000 kanak-kanak yang bakal menerima rawatan perubatan di negara itu, lapor Xinhua.
Angkatan Bersenjata Jordan memaklumkan bahawa pemindahan itu diselaraskan oleh tentera, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Jordan sebagai sebahagian daripada inisiatif koridor perubatan negara.
Dalam sidang media, Pengarah Media Ketenteraan Brigedier Jeneral Mustafa Al-Hiyari berkata bahawa empat kanak-kanak dipindahkan menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Jordan melalui Lapangan Terbang Tentera Marka, manakala 25 lagi dibawa melalui jalan darat menggunakan ambulans menerusi Jambatan Raja Hussein, juga dikenali sebagai Jambatan Allenby.
Sementara itu, jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital lapangan Jordan di Gaza dan Tebing Barat sejak konflik Hamas-Israel tercetus telah melebihi setengah juta orang, kata Al-Hiyari. -TVS