KUALA LUMPUR, 5 Mac: Projek pembinaan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Padawan, Sarawak, dijangka siap pada September tahun ini, kata Fadhlina Sidek.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, pembinaan SMPKV Padawan telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) pada 2019.
Jelas beliau projek berkenaan merupakan salah satu daripada dua Sekolah Pendidikan Khas (SPK) baharu yang sedang dalam pembinaan.
“(Satu lagi melibatkan pembinaan) Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) Bandar Enstek, Negeri Sembilan, yang dijangka siap pada Februari 2026.
“Ia akan menjadi tambahan kepada 35 Sekolah Pendidikan Khas (SPK) sedia ada di seluruh negara, yang kini memberi akses kepada 3,086 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK),” katanya dalam Sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Isaiah Jacob yang ingin tahu langkah kerajaan dalam menaik taraf pendidikan khas serta nilai peruntukan yang telah diagihkan pada tahun lepas.
Selain pembinaan SPK baharu, Fadhlina memaklumkan KPM turut memperluaskan akses pendidikan khas dengan membina bangunan tambahan bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di 33 lokasi di seluruh negara.
“Bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif, kerajaan juga memperuntukkan RM13.6 juta bagi penyediaan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah, termasuk susur tangan, susur landai, tandas OKU, dan parkir khas OKU.
“Setakat ini, 33.7 peratus sekolah atau 2,405 daripada 7,147 sekolah yang mempunyai MBPK telah dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU,” katanya.
Sementara itu Fadhlina berkata menerusi Belanjawan 2025, kerajaan telah meluluskan pembinaan 11 pusat Program PERMATA Negara (PERMATA) baharu yang akan dilengkapi dengan pusat didikan khas bagi anak-anak autisme.
“Kesemua inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan KPM dalam memastikan MBPK mendapat akses pendidikan inklusif yang berkualiti, sejajar dengan keperluan semasa,” katanya. – TVS.