KUALA LUMPUR, 5 Mac: Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM41 juta pada 2024 bagi membiayai 424 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menerusi Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata dana tersebut turut merangkumi 933 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada lebih 185,000 penerima, termasuk pelajar, sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Dana ini digunakan untuk pelbagai inisiatif berimpak tinggi dengan fokus utama kepada pembangunan pendidikan, kebajikan sosial dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Dari segi agihan peruntukan, dana CSR YBR telah disalurkan ke seluruh negara, termasuk kepada 508 sekolah serta 321 NGO yang berperanan dalam membantu komuniti,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Mustafa Musa yang ingin mengetahui peruntukan serta sasaran agihan CSR YBR pada 2024, khususnya dalam membantu kawasan atau NGO yang memerlukan.
Sementara itu tambah Ewon,YBR terus mengutamakan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, sekolah yang memerlukan sokongan tambahan serta NGO yang melaksanakan program berkaitan pendidikan, pembangunan masyarakat dan kesejahteraan sosial.
“Selari dengan peranannya sejak ditubuhkan pada 2007, YBR komited dalam menyokong pembangunan negara menerusi pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar, KUSKOP turut melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, dengan memberi tumpuan khusus kepada keperluan tambahan di Sabah dan Sarawak bagi menangani insiden kemiskinan tegar,” katanya lagi. – TVS