Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Marzuki Amri menunjukkan suntong tutok yang berukuran kira-kira satu meter di gerainya, JK Legend, Metrocity, Kuching. Foto Saibi Gi (TVS)

Belajar ketuk sotong sejak usia 10 tahun

BySaibi Gi

KEMAHIRAN mengetuk sotong yang diasah sejak berusia 10 tahun menjadikan perniagaan suntong tutok (sotong kering diketuk) milik Marzuki Amri semakin laris, terutamanya pada bulan Ramadan.

Marzuki yang mempelajari cara menghasilkan snek popular ini daripada datuknya sejak kecil, kini mengusahakan perniagaan tersebut dengan lebih serius.

“Saya mula berkecimpung dalam perniagaan ini secara serius sejak tujuh tahun yang lalu,” ujar Marzuki ketika ditemui di gerainya, JK Legend, di Metrocity, Kuching pada Selasa.

Kini, bersama isterinya, Maria, Marzuki memiliki lima gerai suntong tutok yang beroperasi setiap hari, walaupun snek ini lebih dikenali di kalangan warga bandar raya Kuching terutamanya pada bulan puasa.

Sotong kering diketuk agar isinya empuk dan mudah dimakan. Foto Saibi Gi (TVS)

Walaupun tidak mendedahkan hasil jualan pada bulan Ramadan, Marzuki berkata ia meningkat dengan ketara berbanding hari biasa.

“Perniagaan pada bulan Ramadan memang sangat menggalakkan,” tambahnya.

Dibantu oleh sepuluh pekerja di lima gerai, Marzuki menjual suntong tutok pada harga antara RM10 hingga RM40 sebungkus, bergantung kepada saiz sotong.

Mengenai bekalan, Marzuki menjelaskan bahawa sotong yang digunakan diperoleh dari Pontianak, Kalimantan, Indonesia, kerana saiznya yang lebih besar dan isinya yang lebih tebal berbanding sotong tempatan.

“Saiz sotong yang besar membolehkan kami menghasilkan suntong tutok yang panjang. Isi yang tebal juga memudahkan proses mengetuk,” jelasnya. Malah, Marzuki pernah menghasilkan suntong tutok yang berukuran kira-kira 1.2 meter panjang.

Selain saiz dan ketebalan sotong, sambal juga memainkan peranan penting dalam membezakan suntong tutok yang dijual di gerai-gerainya dengan yang terdapat di gerai-gerai lain.

Sambal yang digunakan lazimnya mengandungi bahan-bahan seperti cili, bawang merah, bawang putih, garam, dan gula.

Proses penyediaan suntong tutok melibatkan tiga langkah utama: membakar, mengetuk, dan menggiling dengan mesin.

Proses mengetuk sotong penting kerana ia mengempukkan isi sotong kering, memecah serat, dan menjadikannya lebih lembut serta mudah dimakan.

Selain itu, mengetuk juga membantu menghasilkan tekstur yang lebih seragam, menjadikan suntong tutok lebih enak dan membolehkan sambal meresap ke dalam isi sotong dengan lebih sempurna.

Dengan kemahiran yang diasah sejak kecil, Marzuki terus mempopularkan suntong tutok sebagai hidangan yang digemari ramai, terutamanya di musim Ramadan.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan