KUCHING, 5 Mac: Pelancaran perkhidmatan Bas.MY di Kuching, yang merupakan sebahagian daripada projek Transformasi Perkhidmatan Bas Berperingkat (SBST) diyakini mampu meningkatkan akses pengangkutan awam di wilayah ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar selain menggalakkan lebih ramai orang menggunakan bas awam.
“Insiaitif ini sebahagian daripada usaha membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar. Oleh itu, kami ingin menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan bas awam.
“Oleh itu, dengan adanya bas baru ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan bas awam. Selain itu, kami berharap agar bas baru ini akan memudahkan perjalanan orang ramai,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menaiki bas baharu, BAS.MY Kuching yang memulakan operasinya hari ini.
Jelas beliau, jumlah perkhidmatan bas ini akan ditingkatkan secara berfasa dengan 56 bas secara keseluruhannya akan beroperasi menjelang akhir April ini nanti.
“Keseluruhannya ada 56 bas yang meliputi 10 laluan di Kuching. Pada hari ini, perkhidmatan ini bermula dengan enam bas, manakala 10 bas sepatutnya beroperasi, tetapi lima lagi masih belum beroperasi.
“Sebagai tambahan, 26 bas lagi dijangka tiba pada akhir bulan Mac, dan 20 bas tambahan akan tiba pada akhir bulan April,” katanya.
Untuk keselesaan dan keselamatan pengguna, katanya, bas tersebut turut dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV), mesra OKU, Alat Peranti Sistem Kedudukan sejagat (GPS) selain menawarkan harga tambang yang berpatutan.
Laluan-laluan yang terlibat akan merangkumi kawasan seperti Bau, Serian, Bako, Kampung Benuk, Batu Kawa, King Centre, Muara Tebas, Taman Malihah, Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Matang 2.-TVS