MIRI, 5 Mac: Gabungan fesyen moden dan tradisional terus menjadi pilihan utama pelanggan menjelang Syawal, dengan rekaan klasik seperti baju kurung Riau, kebaya Riau dan baju opah mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan muda.
Menurut Hadijah Sheikh Kassim, pengasas Aliea Fashion, permintaan terhadap pakaian raya tahun ini meningkat sejak tempahan dibuka seawal Oktober tahun lalu, yakni beliau sudah menyiapkan hampir 100 pasang baju raya.
“Tahun ini saya nampak permintaan tertumpu kepada baju kurung Riau, baju kebaya Riau, dan baju opah (kurung Kedah). Kalau untuk lelaki, ramai yang memilih kurta berlengan pendek,” katanya ketika ditemui TVS di premisnya di Bandar Permyjaya, di sini.
Beliau yang memulakan perniagaan di Bekenu pada 1982 sebelum berpindah ke Miri pada 1986 berkata, minat masyarakat terhadap fesyen jahitan tangan yang lebih kemas dan terperinci memastikan tukang jahit tempatan kekal relevan walaupun berdepan persaingan daripada pakaian siap beli secara dalam talian.
“Ramai pelanggan membeli baju di TikTok tetapi masih menghantar kepada kami untuk diubah suai. Ini menyebabkan permintaan untuk ubah suai meningkat hampir 30 peratus tahun ini.
“Sekarang ini TikTok memang terkenal. Pelanggan yang membeli secara dalam talian sering menghantar baju kepada kami untuk diubah suai – sama ada dikecilkan, dibesarkan atau dipendekkan. Trend ini sangat membantu menambah pendapatan kami sebagai tukang jahit,” ujarnya.
Walaupun fesyen moden semakin mendapat tempat, rekaan tradisional seperti baju kurung opah atau kurung Kedah kembali menjadi pilihan terutama di kalangan generasi muda yang mahukan gaya ringkas tetapi elegan.
“Dulu, baju kurung Kedah hanya digayakan oleh golongan tua, tetapi kini ia menjadi pilihan ramai pelanggan muda. Mereka suka rekaan yang santai dan pendek seperti ini kerana sesuai untuk suasana hari raya yang santai,” tambahnya.
Bercakap mengenai cabaran persaingan dengan perniagaan dalam talian, Hadijah mengakui bahawa situasi tersebut turut memberi peluang kepada tukang jahit tempatan untuk belajar dan memahami perkembangan fesyen terkini.
“Kami belajar banyak daripada pakaian yang pelanggan bawa untuk diubah suai. Ini membantu kami memahami trend dan menambah pengalaman dalam dunia fesyen.
“Selagi ada minat dan komitmen, saya percaya tukang jahit tempatan akan terus berkembang. Permintaan tinggi setiap tahun membuktikan orang ramai masih menghargai hasil kerja tangan yang kemas dan berkualiti,” katanya. – TVS