KUCHING, 5 Mac: AirBorneo, syarikat penerbangan pertama milik penuh Kerajaan Sarawak, melancarkan Pertandingan Rekaan Logo dan Livery bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam mencorakkan identiti visual syarikat penerbangan baharu itu.
AirBorneo memaklumkan bahawa sambutan luar biasa terhadap reka bentuk bertemakan warisan budaya dan keindahan semula jadi Sarawak telah mencetuskan idea untuk mengadakan pertandingan rasmi bagi mencari rekaan terbaik.
“Pertandingan ini merangkumi dua kategori utama iaitu Rekaan Logo dan Rekaan Livery Pesawat. Peserta digalakkan memasukkan elemen yang mencerminkan budaya Sarawak, warisan, biodiversiti, nilai mesra alam, keterhubungan serta semangat AirBorneo.
“Pemenang bakal menerima penghargaan istimewa serta hadiah menarik,” kata AirBorneo dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dipetik berkata beliau menyambut baik inisiatif ini dan teruja dengan penyertaan rakyat dalam mencorakkan jenama AirBorneo.
“Saya lihat netizen berkongsi rekaan livery kreatif mereka di media sosial dan saya harus akui, kesemuanya sangat menarik dan menginspirasi.
“Bagi menghargai minat ini, kita akan menganjurkan pertandingan untuk mencari rekaan livery terbaik bagi AirBorneo,” katanya.
Abang Johari menegaskan bahawa pertandingan ini bukan sekadar mencari reka bentuk terbaik, tetapi juga mencerminkan komitmen Sarawak dalam menggalakkan keterlibatan masyarakat serta mempersembahkan warisan dan aspirasi negeri ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, menekankan bahawa AirBorneo bukan sekadar syarikat penerbangan, tetapi juga lambang aspirasi dan perpaduan rakyat Sarawak.
“AirBorneo adalah simbol impian dan harapan rakyat Sarawak. Menerusi pertandingan ini, kita mahu menerapkan kreativiti serta semangat rakyat ke dalam jenama ini.
“Kami menggalakkan semua pihak untuk mengambil bahagian dan mencipta sejarah dalam dunia penerbangan negeri ini,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai garis panduan penyertaan dan tarikh akhir penghantaran akan diumumkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam masa terdekat.
Orang ramai yang berminat boleh menghantar penyertaan mereka ke admin@airborneo.com. – TVS